RIO DE JANEIRO, 29 April – Tunjuk Perasaan…… Lebih 10,000 penunjuk perasaan membakar bas, menyekat jalan raya dan bertempur dengan polis ketika mogok umum yang menyebabkan sistem pengangkutan lumpuh di kebanyakan bandar raya seluruh Brazil.

Mogok umum itu bertujuan membantah perubahan kepada undang-undang buruh dan sistem pencen yang dipertimbangkan Kongres, tetapi juga luahan kemarahan rakyat yang bosan dengan rasuah dan bimbang dengan masa depan berikutan kemelesetan dan peningkatan kadar pengangguran.

Di Rio de Janeiro, selepas beberapa jam bertempur dengan polis di depan bangunan perundangan, beberapa bas dibakar.

Di Sao Paulo, ribuan rakyat berarak ke arah kediaman Presiden Michel Temer, sambil melempar batu kepada polis yang melepaskan tembakan pegun apabila penunjuk perasaan cuba melepasi halangan yang didirikan.

Jutaan lagi berada di rumah, sama ada menyokong mogok atau kerana tidak boleh pergi bekerja.

Puluhan ribu rakyat yang mengadakan tunjuk perasaan menimbulkan persoalan mengenai sama ada Temer akan membentangkan cadangannya kepada Kongres, yang berkemungkinan akan meluluskannya.

Pentadbiran Temer berkata peraturan buruh lebih fleksibel akan memulihkan ekonomi dan memberi amaran sistem pencen akan terjejas tanpa perubahan.

Kesatuan sekerja dan kumpulan lain, sebaliknya menggesa mogok diadakan, berkata perubahan menjejaskan pekerja dan menarik balik banyak faedah. – WD MY