KUALA LUMPUR, 10 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan dibiayai menerusi pelaksanaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan nanti, akan dapat meringankan beban kos sara
hidup penerima bantuan itu.

Perdana menteri menerusi laman Facebooknya hari ini berkata sebanyak 7.2
juta permohonan BR1M telah diluluskan setakat ini.

“Seperti mana yang saya nyatakan dalam ucapan Bajet 2015, BR1M akan
dibiayai oleh pelaksanaan GST tidak lama lagi dan saya yakin ia akan sedikit-sebanyak
membantu penerima meringankan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata BR1M kali ini akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga
kali untuk manfaat rakyat yang memerlukan.

Najib berkata bagi permohonan BRIM yang ditolak, mereka terbabit boleh
mengemukakan rayuan mulai 1 hingga 31 Mac ini.

Maklumat lanjut serta muat turun borang permohonan boleh dilakukan melalui
laman ebrim.hasil.gov.my.

Dalam belanjawan 2015, kerajaan menaikkan kadar BR1M kepada RM950 daripada
RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah yang akan dibayar
secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan
meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori
individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi
RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY