LONDON, 23 MEI – KONGSI… Kerajaan Britain berkongsi maklumat dengan 16 sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengenai aktiviti siber Russia di negara mereka sejak 18 bulan lalu, kata Menteri Luar, Jeremy Hunt, hari ini.

Beliau menuduh perkhidmatan perisikan Russia meningkatkan ‘kempen global’ mensasarkan infrastruktur penting, ketika berucap pada Sidang Ikrar Pertahanan Siber NATO di London, yang dihadiri ketua pakatan itu, Jens Stoltenberg.

“Kempen global ini juga mahu berkompromi dengan rangkaian kerajaan pusat.

“Saya boleh mendedahkan bahawa dalam masa 18 bulan lalu, Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan berkongsi maklumat dan penilaian dengan 16 sekutu NATO dan banyak negara luar pakatan itu mengenai aktiviti siber Russia di negara masing-masing,” katanya, menurut petikan ucapan yang disiarkan jabatan beliau.

NATO mempunyai 29 negara anggota. Katanya, cubaan mempengaruhi pilihan raya di Amerika Syarikat dan Ukraine ‘melanggar undang-undang antarabangsa’ dan mewajarkan tindak balas bersesuaian.

“Bersama-sama, kita mempunyai pilihan untuk bertindak balas kepada sebarang serangan.

“Kita perlu bersedia menggunakannya,” kata Hunt,

Hubungan London dengan Moscow tegang sejak pentadbiran Presiden Vladimir Putin, memuncak dalam kes racun bekas perisik Russia, Sergei Skripal, di Britain. – WD MY