ADDIS ABABA/ PARIS, 13 MAC – GANTUNG….. Britain menyertai gelombang negara yang menggantung pesawat Boeing 737 MAX di seluruh dunia, hari ini.

Perkembangan itu berlaku, selepas seluruh dunia terkejut dengan nahas di Habsyah yang mengorbankan 157 orang dalam kemalangan kedua seumpamanya membabitkan model pesawat terbabit, sejak beberapa bulan lalu.

Keputusan yang diambil oleh pengawal selia industri antara terbaik di dunia itu adalah tamparan paling hebat terhadap Boeing, setakat ini, susulan nahas Ahad lalu dan ia memberikan tekanan kepada pengawal selia di negara Eropah lain serta Amerika Syarikat (AS) untuk turut serta.

Pada masa sama, ketika pengumuman dari London itu, syarikat penerbangan Norwegian Air turut berkata, ia akan menggantung pesawat penumpang MAX 8 untuk sementara atas nasihat pengawal selia Eropah.

Terdahulu, Singapura, Australia, Malaysia dan Oman juga menggantung sementara pesawat itu, selepas China, Indonesia dan beberapa negara lain melakukan, semalam.

“Pengawal selia di United Kingdom (UK), Singapura dan Australia adalah profesional bebas. Saya pasti Pentadbir Penerbangan Persekutuan AS akan mengambil kira penilaian mereka,” kata penganalisi Teal Group, Richard Aboulafia.

Nahas Ahad lalu, selepas nahas maut pesawat 737 MAX di Indonesia, Oktober lalu menyebabkan nilai pasaran syarikat pengeluar terbesar dunia itu merudum.

Bagaimanapun, rata-rata pakar berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai punca nahas dan sama ada kedua-dua insiden mempunyai kaitan. Difahamkan, kebanyakan nahas disebabkan rantaian unik faktor manusia dan teknikal. – WD MY