KUALA LUMPUR, 3 April – Cadang….. ┬áDatuk Seri Nazri Aziz, mencadangkan program debatnya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diadakan di Auditorium Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras selepas permohonan permit kali kedua ditolak polis semalam.

Nazri yang kecewa dengan penolakan itu berkata, program debat itu mungkin boleh diadakan di kawasan milik polis yang sudah tentu selamat dan tidak membahayakan keselamatan awam.

“Saya difahamkan tempat itu besar dan ia adalah tempat polis. Mungkin kita cadangkan kepada polis untuk menjadi penganjur kepada wacana ini,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi.

Polis petang semalam membatalkan permohonan penganjuran debat ‘Wacana Dialog Dr Mahathir vs Nazri’ yang dijadualkan diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat ini.

Sebelum ini, permohonan penganjuran debat antara kedua-dua tokoh politik itu di Kuala Kangsar Perak pada 25 Mac lalu turut ditolak atas faktor keselamatan.

Nazri turut menafikan beliau gentar untuk berdebat dengan Dr Mahathir, sebaliknya yakin mampu berdepan bekas ketuanya itu dengan mudah sekali.

“Saya tidak fikir berbahas dengan Dr Mahathir ini tidak membolehkan saya tidur malam. Waktu dia Perdana Menteri pun saya ada lawan dan saya menang.

“Apatah lagi sekarang dia bukan Perdana Menteri dan saya Menteri. Jadi saya nak beritahu saya bukanlah bisu. Takde hallah, ‘small matter’ nak lawan dengan beliau.

“Tak perlu buat persediaan sebab yang cakap tidak betul beliau (Dr Mahathir), bukan saya, jadi bila kita bercakap betul, kita boleh bercakap di mana-mana, tak jadi masalah kepada kita,” katanya. – WD MY