KUALA LUMPUR, 26 Jan – Polis hari ini mengesahkan bahawa siasatan awal mendapati ada satu panggilan dari pengebom di Jakarta ke nombor telefon di Malaysia.

Menurut Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, butiran lanjut tidak boleh didedahkan kerana ia masih dalam siasatan.

“Saya hanya boleh memaklumkan butiran ini berdasarkan siasatan yang dibuat oleh agensi keselamatan di Indonesia bahawa ada satu panggilan dibuat oleh penyerang ke nombor di Malaysia.

“Kami masih menyiasat perkara ini ketika ini,” kata Mohamad Fuzi.

Ditanya jika perkara tersebut menunjukkan kemungkinan wujudnya kaitan antara jaringan pengganas di kedua-dua negara ini, Mohamad Fuzi berkata beliau tidak dapat memberi kepastian buat masa ini.

“Penyiasatan kami memang mengambil kira perkara ini juga,” jelasnya ketika ditemui selepas menghadiri sesi plenari pertama hari kedua Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di Hotel Grand Hyatt hari ini.

Beliau bagaimanapun, memberi jaminan bahawa tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden pengeboman di Jakarta.

“Ini saya boleh pastikan. Memang tiada rakyat Malaysia terlibat,” katanya.

Lima pengganas disahkan terkorban dalam insiden tembak-menembak dan serangan bom berhampiran Gedung Sarinah di Jalan MH Thamrin, di tengah-tengah ibu kota Jakarta dalam insiden 14 Januari lalu itu. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY