PASIR PUTEH, 16 Mac- KURANG…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata budaya ‘cah keting’ semakin berkurangan di Kelantan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Sekarang tak timbul banyak (budaya ‘cah keting’) berbanding pilihan raya umum yang terdahulu, sebab saya lakukan ‘engagement’ bukan sahaja dengan Tok Pa (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed) dan kebetulan rakan-rakan ketua-ketua bahagian adalah rakan-rakan peribadi saya ketika mereka belum lagi jadi ketua bahagian dahulu.

“Dengan ikhlas mereka memberitahu bahawa pada kali ini dan pada waktu yang akan datang kita akan pastikan bahawa soal titik bengik tidak lagi dilayani walaupun ada di bawah, kiri dan kanan masih ada ngiangan di telinga. Namun saya yakin perkara itu telah dapat diselesaikan dengan pemantauan yang dilakukan oleh Tok Pa sendiri,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden berkata demikian media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan pelancaran Jentera PRU Parlimen Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah Kampung Pulau Lima hari ini.

“Insya-Allah tidak ada calon luar kecuali di Pasir Puteh (merujuk kepada Asyraf Wajdi yang berasal dari Tumpat dan disebut-sebut sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pasir Puteh),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Susulan bagi memastikan apa yang dijanjikan oleh BN dipantau dan dilaksanakan.

“Saya tidak berjanji tetapi saya berazam bahawa segala pengumuman yang telah diberikan akan saya lakukan susulan… follow through, its not just follow up. Dan kami serius untuk menentukan semuanya dilaksanakan,” katanya. – WD MY