KANGAR, 30 April – Latih Dari Peringkat Pembelajaran… Budaya keusahawanan hendaklah dipupuk dalam kalangan murid sejak awal lagi iaitu bermula di peringkat sekolah rendah dengan memperkenalkan unsur berkenaan perniagaan di dalam pembelajaran, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah misalnya penerapan nilai keusahawanan itu diselitkan dalam mata pelajaran matematik di sekolah yang dapat membentuk para pelajar sebagai pencipta kerja yang berpotensi dan bukan sekadar sebagai pencari kerja.

“Pendidikan keusahawanan hari ini perlu diberi perhatian serius dan merupakan komponen penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang kreatif dan berinovasi.

“Bidang keusahawanan juga sangat signifikan dalam membantu meningkatkan kebolehpasaran siswazah atau lulusan institusi pengajian tinggi yang seterusnya memenuhi hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang progresif dan berpendapatan tinggi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika merasmikan Karnival Kesenian Islam dan Hari Keusahawanan Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi 2016 di sini hari ini.

Baginda bertitah dengan bekerja sendiri dan memiliki perniagaan adalah satu opsyen yang realistik untuk pelajar yang mempunyai kemahiran vokasional dan teknikal, namun kebanyakan orang masih kurang melihat bidang keusahawanan sebagai satu alternatif kerjaya yang harus diceburi.

“Justeru antara komponen keusahawanan yang diperkenalkan melalui aktiviti karnival seumpama ini serta dalam modul pembelajaran ialah untuk membolehkan pelajar berdikari dan menonjolkan potensi diri secara praktikal ke arah menjadi seorang usahawan berjaya.

“Selain itu, ketika pendedahan pembelajaran di dalam kelas pula, ia akan meluaskan pemahaman dan mengamalkan prinsip asas perniagaan dan keusahawanan supaya boleh bertindak sebagai seorang pengguna atau pengeluar sejajar dengan nilai dan etika peniagaan,” titah baginda.

Baginda bertitah objektif pendedahan nilai keusahawanan di sekolah juga menyemai sifat kreatif, inovatif, suka berusaha, jujur, bekerjasama dan mengamalkan cara kerja bersistem yang selamat, sihat dan bertanggungjawab. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY