KUALA LUMPUR, 23 Okt – Dibuka Kertas Siasatan…… 435 kertas siasatan berkaitan kes hasutan yang menyentuh sensitiviti perkauman, agama, institusi diraja dan pentadbiran keadilan negara dibuka sejak 2010 hingga 14 Oktober lalu.

Sebanyak 55 kes membabiykan isu perkauman, agama (68), institusi diraja (60) dan pentadbiran negara (65).

Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Rusdi Ahmad, sebanyak 11 lagi kes membabitkan Sabah dan Sarawak keluar Malaysia manakala baki sebanyak 176 kes melibatkan lain-lain kategori.

Rusdi berkata PDRM juga memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang diputarbelitkan oleh segelintir individu melalui media sosial khususnya Facebook dan Whatsapp.

“Penyebaran maklumat palsu berupaya mengganggu gugat ketenteraman awam, mengancam keselamatan dan menjejaskan keharmonian kaum selain mendatangkan mudarat kepada perpaduan kaum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap individu supaya tidak melakukan perbuatan yang menjurus kepada menghasut, memfitnah, mengaib atau menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang-bilang kaum dan agama di negara ini.

Menyentuh mengenai jenayah siber yang semakin meningkat di negara ini, Rusdi berkata dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 5,785 kes direkodkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM119.7 juta. – WD MY