KUALA LUMPUR, 11 Jan – BUKA… Kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) boleh dibuka kepada bukan Bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah bagi menjamin keseimbangan persaingan antara pelbagai kaum di negara ini.

Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub, ketika mengutarakan pendirian itu menyifatkan Malaysia kini berada di persimpangan sejarah yang berupaya menyaksikan laluan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi berkenaan diperluaskan untuk bukan Bumiputera.

“Kalau tanya sama ada bukan Melayu sepatutnya diberikan laluan untuk masuk ke UiTM, saya berpendirian ia harus di peringkat pascasiswazah kerana graduan daripada pelbagai kaum boleh saing bersaing secara saksama,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal selepas menghadiri majlis pembukaan sekolah untuk kanak-kanak kurang berkemampuan, semalam.

Arshad antara perintis yang menerajui penubuhan UiTM berkata, Melayu dan Bumiputera belum bersedia untuk menempuh saingan secara terbuka dengan kaum lain di negara ini untuk merebut kekosongan bagi kursus pengajian prasiswazah.

Katanya, kursus prasiswazah yang menyaksikan tawaran kemahiran dan ilmu membabitkan kerjaya profesional seperti perakaunan serta kejuruteraan sehingga kini dipelopori golongan memerlukan, sekali gus menuntut keperluan untuk mengekalkan dasar kuota dilaksanakan sebelum ini.

“Oleh kerana itu kita masih perlu menyediakan peluang dan ruang untuk menangani permasalahan ini supaya mereka mampu bersaing dengan kaum lain selepas tiga hingga lima tahun menimba pendidikan serta latihan,” katanya.

Menjangkau usia 90 tahun, Arshad yang menyandang pelbagai anugerah pendidikan mengimbau sejarah perkhidmatannya dalam membantu golongan belia, khususnya Bumiputera dari pelosok luar bandar.

Melangkaui zaman, beliau berkata jumlah graduan yang pernah menuntut ilmu dan terhutang budi kepada UiTM kini hampir 750,000 orang, termasuk daripada golongan profesional dan lepasan ijazah kedoktoran.

Bagaimanapun, katanya, mahasiswa di universiti berkenaan kini kurang terdedah kepada cara pemikiran di luar ruang lingkup budaya mereka sendiri.

“Bagi saya, kekayaan dalam hidup ialah pendedahan. Ketika menyandang jawatan Pengarah ITM (nama lama UiTM), hanya lima peratus daripada pensyarah ialah Melayu. Selebihnya India dan Cina, selain tenaga pengajar dari Portugal, Jepun, England, Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan Russia.

“Maka mahasiswa ketika ini terdedah kepada pelbagai budaya dan perspektif pemikiran, namun situasi berbeza sekarang kerana mereka tidak lagi mempunyai peluang sedemikian.

“Jika mahasiswa 100 peratus ialah Bumiputera, manakala 95 peratus tenaga pengajar terdiri daripada Bumiputera, bagaimana mereka akan peroleh peluang pendedahan terhadap budaya dan cara pemikiran berbeza melainkan dengan menonton televisyen serta membaca buku?” katanya. -WD MY