KUALA LUMPUR,23 Mac – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan dakwaan pembangkang yang mengatakan sekatan terhadap Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu memasuki Sarawak adalah bermotifkan politik.

Fadillah yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) dan Ketua Pemuda BN Sarawak berkata, Mohamad atau Mat Sabu mungkin dihalang kerana dikhuatiri mengganggu gugat keharmonian di negeri itu.

Katanya, ia berikutan perkara itu kebiasaannya menjadi punca kerajaan negeri yang memiliki kuasa prerogatif menghalang mana-mana individu memasuki Sarawak.

“Jika sekatan itu bermotifkan politik, mengapa ada beberapa individu yang tidak berkaitan dengan politik dihalang masuk Sarawak juga sebelum ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Imigresen Sarawak menghalang Mat Sabu daripada memasuki negeri itu, semalam.

Tambah beliau, “Antaranya (Datuk) Ibrahim Ali (Presiden PERKASA) yang pernah diumumkan dulu serta Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah (ahli akademik dan penceramah bebas), adakah mereka ini berkaitan politik, tentunya tidak.

“Mereka dihalang kerana mengeluarkan kenyataan yang membabitkan sensitiviti terhadap perasaan masyarakat Sarawak dan mengganggu gugat keharmonian di Sarawak, dan mungkin atas alasan itu juga kerajaan negeri menghalang Mat Sabu, bukan ada unsur politik,” katanya ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY