KUALA LUMPUR, 27 Dis – Bukan… Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan Pulau Pinang sebagai hab dadah utama di Asia Tenggara untuk pasaran antarabangsa kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata walaupun Pulau Pinang dari dulu lagi mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, ia tidak bermaksud negeri itu wajar dilabel sebagai hab dadah antarabangsa.

“Lagipun, kebanyakan bekalan dadah diseludup ke negara ini berasal dari Thailand yang menggunakan jalan masuk di selatan negara itu sebelum diedar ke negara lain termasuk Malaysia.

“Kita juga tidak nafikan kerancakan industri perniagaan antara Pulau Pinang dan Thailand menyaksikan dua lokasi itu sering kali disalah anggap sebagai tumpuan sindiket pengedaran dadah.

“Bagaimanapun, dakwaan Pemangku Bahagian Pencegahan Narkotik Kawasan 4 Thailand (selatan) bahawa Pulau Pinang dijadikan hab bagi dadah yang diseludup dari ‘Segi Tiga Emas’ berhampiran sempadan Thailand, Myanmar dan Laos adalah kenyataan tidak tepat dan tidak adil,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas hadir di Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Khalid menegaskan PDRM sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memantau, sekali gus membanteras pergerakan sindiket menyeludup dadah di negara berkenaan.

Pemangku Pemerintah Bahagian Pencegahan Narkotik Kawasan 4 Thailand (selatan) Mej Jen Dussadee Choosankij, mendakwa Pulau Pinang berfungsi sebagai hab bagi dadah yang dibawa dari Thailand kerana ia memiliki pelabuhan selain ada sindiket Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sindiket dadah di negara lain.

Beliau mendakwa, pasaran utama bagi dadah itu akan melalui Pulau Pinang untuk diedarkan ke Taiwan sebelum bahan terlarang itu akan dieksport pula ke negara lain. – WD MY