KUALA LUMPUR,OGOS 6:CINTA…Artis versatil, Zizan Razak berkata, single terbarunya, Kau Takkan Tahu tidak mempunyai kaitan dengan kisah hidupnya yang pernah gagal dalam hubungan cinta.

Lagu berentak hip-hop ciptaan Alif by Magic Potion itu menceritakan luahan kekecewaan lelaki terhadap teman wanitanya yang sentiasa mencari kesalahan sebagai alasan memutuskan hubungan.

“Lagu itu hanya imaginasi penulis dan tiada kena mengena dengan pengalaman hidup saya. Namun, saya pasti di luar sana, ramai yang pernah melalui pengalaman serupa,” katanya.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, perancangan untuk menghasilkan single itu dimulakan sejak dua tahun lalu, namun baru kini ia siap sepenuhnya.

“Pelbagai aspek perlu diambil kira, terutama dari segi melodi, lirik dan pelbagai strategi lain. Itu antara faktor yang menyebabkan proses penghasilan lagu ini mengambil sedikit masa.

“Tambahan pula, jadual saya agak sibuk dengan pelbagai aktiviti seni. Namun, saya tetap luangkan masa menyiapkan juga rakaman lagu ini walaupun sibuk dengan program Jozan, promosi filem animasi, Wheely dan berlakon dengan produksi seberang,” katanya.

Sebelum ini, Zizan pernah muncul dengan single Selamat Tinggal menampilkan Dina Nadzir, selain Bawaku Pergi dan Infiniti Cinta bersama Kaka Azraff.

Zizan turut menyumbang suara untuk lagu runut bunyi Abang Long Fadil 2, Kaki Licik, seterusnya memperkenalkan single, Kita OK.

Mengulas perkembangan kerjayanya di Indonesia, Zizan bersyukur apabila kelibatnya mula mendapat perhatian produksi di sana.

“Alhamdulillah, sudah ada produksi yang mengintai dan mahukan saya tampil dalam drama bersiri serta filem di sana. Saya optimis melebarkan sayap di negara jiran jika rezeki menyebelahi.

“Meskipun masih baharu, sudah ada peminat dari sana yang mula menyapa dan memberi reaksi positif terhadap karya seni yang saya tampilkan,” katanya.-MY WD