LUNDU, 4 Feb – Bukan Trend…..Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bukan trend mahupun dasar Barisan Nasional (BN) meletakkan balu wakil rakyatnya bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kawasan yang disandang suami.
“Kami jalankan kajian dan dapati si isteri yang dicadang bertanding mempertahankan kerusi yang ditinggalkan arwah suami menerima sokongan kuat daripada akar umbi.
“Justeru, tidak semestinya hanya isteri yang patut gantikan suami. Pilihan kami adalah berdasarkan sokongan akar umbi dan peluang untuk menang,” katanya hari ini.
Beliau ditemui media selepas menyertai barisan pemimpin BN Sarawak
mengiringi calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Datuk Amar
Jamilah Anu, ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Lundu di sini.
Ahmad Zahid berkata dalam kes Tanjong Datu, BN turut menjalankan kajian
serupa dan mendapat hasil yang sama.

“Perkara ini turut berlaku dalam dua PRK sebelum ini. Keputusan mencalonkan
beliau (Jamilah) dibuat oleh pemimpin BN peringkat negeri dan pusat,” katanya.

Ahmad Zahid turut bersetuju dengan pandangan bahawa langkah itu juga antara
cara menambah bilangan pemimpin wanita di peringkat negeri dan negara.
Sementara itu, beliau yakin Jamilah, 61, akan mempertahankan kerusi tersebut
untuk BN sekalipun dicabar oleh dua lagi calon.
“Beliau boleh teruskan legasi cemerlang suaminya, Allahyarham Ketua Menteri
Tan Sri Adenan Satem. Kami juga yakin pengundi akan terus menyokong BN dan
barisan kepimpinan baharu negeri di bawah Abang Johari,” katanya.

Ahmad Zahid berkata BN akan memenuhi semua janji yang dibuat Allahyarham
Adenan dan semua projek pembangunan akan dilaksana.

Katanya jentera pilihan raya di bawah Abang Johari dan juga Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku pengarah operasi yang turut dibantu jentera pilihan raya BN Sabah, akan bekerja keras memastikan kemenangan Jamilah. – WD MY