KUALA LUMPUR, 21 Mei – Tamat…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis yang mengutip ‘duit pau’ atau habuan untuk perlindungan dalam kalangan agensi penguat kuasa sudah lama berlalu.

Perbuatan dan  GEJALA rasuah itu masih menular kononnya menanggung perbelanjaan ‘meraikan’ pegawai atasan yang turun melawat anggota bawahan, khususnya di peringkat daerah.

“Ini alasan tidak cerdik kerana bercanggah dengan pendirian anggota penguat kuasa yang diberi amanah untuk memikul tanggungjawab melindungi negara dan masyarakat.

“Tindakan pegawai atasan membuli anggota bawahan juga perlu dihentikan kerana amalan ini menjurus kepada perlakuan menghalalkan rasuah dalam kalangan unit beruniform.

“Zaman untuk dapat rezeki tidak halal dan tanpa modal sudah lama berlalu, justeru tinggalkan amalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup  Kembara Media Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2017, di sini hari ini.

 

 

Sehingga kini, seramai sembilan individu ditahan reman berhubung kes berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) ditubuhkan untuk memantau sebarang perlakuan anggota polis yang menyalahi tatatertib dan undang-undang.

“Pegawai atasan perlu tunjukkan teladan dan mengamalkan integriti dalam pasukan polis supaya tiada yang menjadi setitik nila sehingga rosak susu sebelanga,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, media memainkan peranan penting untuk menangani penularan persepsi negatif sehingga merencatkan imej kerajaan dan agensi penguat kuasa di negara ini. – WD MY