TAWAU, 6 Ogos – Lancar Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang…….. Kira-kira 30,000 pengunjung menghadiri pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam ini.

Pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur itu mula membanjiri Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini seawal pukul 6.30 petang dengan penuh bersemangat untuk mempamerkan rasa cinta kepada negara.

Pelbagai acara menarik disusun khas bagi memeriahkan pelancaran itu yang buat julung kalinya diadakan di Sabah dengan Tawau menjadi tuan rumah.

Antara yang mencuri tumpuan pada sambutan itu ialah gimik pelancaran yang menyaksikan Jalur Gemilang gergasi berukuran 32.9 meter X 15.24 meter diturunkan dari bangunan MPT menggunakan pancaran laser selain penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil setiap negeri.

Turut dipersembahkan kawad senyap Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Tawau, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta persembahan khas berkonsepkan Sehati Sejiwa selama lima minit daripada penari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.

Pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan termasuk Merdeka@Komuniti, Kembara Jalur Gemilang, Doa Untuk Malaysia, Kayuhan Sehati Sejiwa, myBuddies Run #sehatisejiwa, Karnival Merdeka dan Amanat Hari Kebangsaan yang bertujuan membangkitkan semangat kecintaan kepada Malaysia. – WD MY

LEAVE A REPLY