KUALA LUMPUR, NOVEMBER 22: BURSA…Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kekurangan minat belian dan menjejaki prestasi semalaman yang bercampur-campur di Wall Street.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.27 mata kepada 1,693.10 daripada 1,695.37 pada penutup Rabu selepas dibuka rendah 0.78 mata pada 1,694.59 hari ini.

Pasaran secara keseluruhan, untung mengatasi rugi 80 kepada 79, dengan 124 tidak berubah, 1,624 tidak didagangkan dan 31 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah 82.35 juta unit bernilai RM36.48 juta.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran tempatan pada masa ini tidak menentu kerana pelabur masih bimbang terhadap perkembangan luaran termasuk ketegangan perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China juga ketidaktentuan Brexit.

“Adalah dijangkakan bahawa pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat selain cuba mengelakkan saham aset berisiko pada masa ini,” kata peniaga berkenaan.

Sementara itu, Kenanga Research dalam nota penyelidikannya hari ini menyebut, tahap sokongan pertengahan untuk diperhatikan adalah 1,680 dan 1,650.

“Sekiranya sentimen pasaran bertambah baik dari sini, tahap utama rintangan untuk diperhatikan adalah 1,740 dan 1,760,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.37, Public Bank susut 12 sen kepada RM24.70 sementara Tenaga dan Hong Leong Bank tidak berubah masing-masing pada RM14.80 dan RM20.58.

Petronas Chemicals susut empat sen pada RM9.29.

Kaunter aktif, AirAsia X susut 1.5 sen pada 22.5 sen, Sapura Energy susut setengah sen kepada 37 sen, sementara TATT Giap dan Prestariang menambah satu sen masing-masing kepada 25 sen dan 65.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 21.43 mata kepada 11,795.19, Indeks FBMT 100 susut 21.58 mata kepada 11,634.88, FBM 70 susut 48.88 mata kepada 13,974.41 tetapi Indeks FBM Ace meningkat 14.55 mata pada 5,014.48.

Indeks FBM Emas Shariah susut 10.08 mata kepada 11,873.57.

Megikut sektor, Indeks Kewangan susut 55.93 mata pada 17,249.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.21 mata kepada 173.28 dan Indeks Perladangan meningkat 4.39 mata pada 7,196.37.-MY WD