KUALA LUMPUR, OKTOBER 15:SAHAM… Bursa Malaysia dijangka didagangkan dalam kedudukan defensif minggu ini dengan faktor domestik dan luaran terus mempengaruhi pasaran, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata pasaran tempatan akan bergantung kepada kedudukan penutupan pasaran Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Beliau berkata, Sekiranya Dow Jones Industrial Average terus mengekalkan pemulihannya pada Jumaat, dan jika peningkatan itu cukup tinggi, berkemungkinan ini dapat menarik minat yang mencukupi untuk pelabur mengambil risiko.

Dow Jones menokok 287 mata, atau 1.2 peratus, pada Jumaat. Indeks S&P 500 menokok 1.4 peratus, manakala Nasdaq naik 2.3 peratus.

Pong berkata, pasaran kini menunggu pembentangan Belanjawan 2019.

“Ada perbincangan berhubung cadangan memperkenal pelbagai cukai baharu bagi membersihkan hutang kerajaan. Ini mewujudkan ketidaktentuan dalam pasaran, sama ada pasaran melihatnya sebagai langkah yang menyukarkan atau mungkin hanya peningkatan yang kecil.

“Namun kebanyakan pelabur menunggu untuk melihat berapa banyak kenaikan hasil yang mahu dikumpul kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perdagangan OANDA bagi Asia-Pasifik Stephen Innes berkata Jabatan Perbendaharaan AS akan menyiarkan laporan mata wangnya hari ini, yang disebut-sebut bahawa mereka tidak akan mengklasifikasikan China sebagai manipulator mata wang.

“Ini boleh mengelakkan krisis mata wang Asia, dan akan mengurangkan tahap perang perdagangan AS-China. Kita akan peroleh sentimen yang lebih positif dengan syarat Presiden Trump tidak memainkan isu manipulasi mata wang,” katanya.

Innes berkata, berita berhubung Belanjawan 2019 akan terus meningkat menjelang pembentangannya pada 2 November, dan ini boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Pada minggu baru berakhir, Bursa Malaysia mengalami kedudukan yang tidak menentu, bermula dengan catatan lemah pada Isnin ekoran pulangan hasil bon kerajaan AS yang tinggi serta pasaran China yang lemah selepas ‘Golden Week’.

Kemerosotan terus membelenggu pasaran pada Rabu seiring kejatuhan di Wall Street susulan kebimbangan berhubung kenaikan kadar faedah, namun pasaran tempatan pulih pada Jumaat selepas aktiviti belian semasa harga rendah.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI ditutup 46.41 mata lebih rendah kepada 1,730.74.

Indeks FBM EMAS susut 425.77 mata kepada 11,981.86, Indeks FBMT100 turun 405.01 mata kepada 11,809.62 manakala Indeks FBM EMAS Syariah merosot 522.86 mata kepada 11,988.96.

FBM 70 merosot 819.03 mata kepada 13,860.09, manakala FBM ACE turun 222.04 mata kepada 5,008.02.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 183.5 mata kepada 17,528.62, Indeks Perladangan susut 70.63 mata kepada 7,411.80, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.40 mata kepada 171.60.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.15 bilion unit bernilai RM10.68 bilion berbanding 9.2 bilion unit bernilai RM9.18 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 6.71 bilion saham bernilai RM10.03 bilion berbanding 6.33 bilion saham bernilai RM8.49 bilion pada Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.90 bilion unit bernilai RM357.70 juta berbanding 1.64 bilion unit bernilai RM392.29 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.57 bilion saham bernilai RM289.37 juta berbanding 1.54 bilion saham bernilai RM297.83 juta.-MY WD