KUALA LUMPUR, 24 MEI – JUAL….. Tindakan undang-undang termasuk membatalkan permit perniagaan boleh dikenakan terhadap individu yang menjual butang baju Melayu logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada orang awam.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata kelengkapan dan peralatan pakaian seragam PDRM hanya boleh dijual kepada anggota polis termasuk polis bantuan, kadet polis, Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dengan menunjukkan kad sijil pelantikan.

Katanya, setiap peniaga perlu mencatatkan butiran pembeli menerusi buku daftar jualan sebagai bukti butang berkenaan tidak dijual kepada orang awam.

“Ketika ini, kita khuatir akan timbul penjualan secara terbuka yang boleh mengundang perlakuan jenayah.

“Susulan itu, kita nasihatkan penjual untuk catatkan butiran pembeli dan mereka kemudian perlu menandatangani pembelian yang dibuat.

“Proses ini tidak dapat dilakukan sekiranya penjualan dibuat dalam talian, malah kesahihan status pembeli dan kad kuasa yang ditunjukkan secara dalam talian juga tidak dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan. – WD MY