KUALA LUMPUR, 22 FEB – GAGAL…. Ketua cabang PKR Bukit Bintang, N Shanmugam mempersoalkan kewajaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis perintah berhenti kerja sementara di kawasan tapak simen milik sebuah syarikat swasta di Sentul.

Menurutnya, DBKL tidak mengendahkan desakan penduduk dan saranan anggota Parlimen Batu, P Prabakaran agar tapak itu dipindahkan ke tempat lain.

Sebaliknya, kata Shanmugam, DBKL menyita kawasan itu pada Rabu dan mengarahkan kerja-kerja dihentikan selama 14 hari sahaja.

“Selepas mendapati kawasan itu disita, saya menghubungi DBKL. Tetapi, tiada sebarang maklum balas. Tapi salah seorang pegawai kepada Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Abd Samad) mengesahkan bahawa tapak itu disita untuk tempoh sementara sahaja.

“Saya juga diberitahu bahawa DBKL dalam proses memperbaharui lesen perniagaan tapak simen tersebut,” dakwa Shanmugam.

Media juga sedang berusaha menghubungi pihak DBKL, selepas Datuk Bandar DBKL Nor Hisham Ahmad Dahlan tidak menjawab panggilan dan mesej sejak Rabu.

Sementara itu, sekumpulan penduduk Sentul hari ini menyerahkan memorandum kepada Khalid dan Datuk Bandar DBKL agar campur tangan dalam isu ini.

“Memorandum tersebut diserahkan kepada pegawai khas Menteri yang hanya dikenali sebagai Nik,” kata Shanmugam.

Tapak yang menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan simen itu dibantah penduduk tempatan kerana dikatakan tidak selamat dan menjejaskan lima buah sekolah yang terletak dalam radius kurang 100 meter daripada tapak simen tersebut.

Isu tersebut telah berlarutan sejak 14 tahun lalu.

Pada 2013 seorang wanita maut digilis sebuah lori simen di hadapan Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1 & 2.

Susulan desakan penduduk, Prabakaran melawat ke tapak tersebut pada 31 Januari lalu dan mencadangkan syarikat berkenaan memindahkan tapak tersebut ke tempat lain. – WD MY