KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Cadangan membina sebanyak 30,000 buah rumah bagi
keperluan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara
lima fokus perancangan Kementerian Pertahanan dalam Rancangan Malaysia Ke-11
(RMK-11), kata menteri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kementerian menjangkakan pembinaannya dalam tempoh 10 tahun
bermula dari sekarang.

“Saya begitu mengambil berat tentang kebajikan anggota ATM terutamanya
keperluan tempat tinggal yang selesa.

“(Kita) melihat kepada parameter Rumah Keluarga Angkatan Tentera yang telah
ditetapkan iaitu faktor pembinaan kem baharu, keusangan rumah keluarga sedia ada
dan faktor sewaan yang tinggi di luar kem.

“Dalam melaksanakannya, kita perlukan perbincangan lebih rapi dan saya
cadang untuk bentang kepada orang ramai melalui pelan induk supaya tidak ada
perkara-perkara yang disalah tafsir,” katanya semasa berucap di
Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan hari ini.

Hishammuddin berkata perancangan dalam RMK-11 turut meliputi tumpuan dalam
meningkatkan kesiapsiagaan aset dan kemudahan fizikal ATM, serta meningkatkan
keupayaan bagi berhadapan ancaman bukan tradisional termasuklah dalam menangani
isu keselamatan di Sabah.

“Kita juga komited untuk memperkukuh sektor inovasi dan pengkomersilan
industri pertahanan di mana industri dan syarikat-syarikat yang merupakan pihak
berkepentingan mesti mencari jalan bahawa sektor perindustrian pertahanan dapat
kita tambah nilai dan dapat kita perkembangkan dan bangunkan.

“(Selain itu) Pelan Tranformasi Program Latihan Khidmat Negara iaitu tumpuan
diberikan terhadap proses pelatih melanjutkan pendidikan di pusat-pusat latihan
kemahiran,” katanya.

Hishammuddin turut menggesa warga kementerian supaya tidak mengalah dalam
zaman yang serba mencabar dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu serta
ancaman sosial disebabkan fahaman ekstremis dan sebagainya. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY