GERIK, 3 Julai – Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan bercadang untuk
membina jambatan konkrit tanpa tiang di lokasi yang sering dilanda banjir.

Menurut Menteri Kerja Raya itu, kaedah penggunaan konkrit berprestasi ultra tinggi (UHPC) itu
boleh menjimatkan kos pembinaan sehingga 30 peratus.

“Selain itu ia memudahkan laluan air yang dapat mengelak jambatan daripada
rosak atau hanyut akibat air banjir,” katanya.

Beliau berkata jambatan seumpama itu telah dibina di Batu 6 di sini dan
ia dicadang untuk dibina di Gua Musang, Kelantan bagi menggantikan jambatan yang
roboh akibat banjir besar tahun lepas.

Beliau melawat jambatan itu di sini yang dinobatkan sebagai jambatan konkrit
satu rentang yang terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR),
yang menggunakan kaedah UHPC.

Fadillah menyerahkan sijil MBOR itu kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya
Perak, Datuk Ir Dr Safri Kamal Ahmad.

Jambatan itu sepanjang 100 meter dan selebar lima meter yang menyeberangi
Sungai Perak dari Gerik ke Bandariang, dengan menggunakan peruntukan
Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

Jambatan itu menggunakan teknologi daripada Perancis.

“Manfaat menggunakan UHPC sebagai bahan binaan jambatan antaranya ialah ia
tidak memerlukan penyelenggaraan berkala dan berat jambatan dapat dikurangkan 50
peratus berbading jambatan konvensional,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY