SEREMBAN, 18 Ogos – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
bercadang untuk melaksanakan projek perintis penjualan herba secara dalam talian
penghujung bulan hadapan, bersempena dengan program MYCyberSale.

Menurut Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ini bertujuan untuk
memperluaskan pemasaran produk herba di negara ini.

“Sebelum ini kita dah bangunkan Agrobazaar untuk menjual produk pertanian
tetapi sejak ia diperkenalkan Disember tahun lepas, hanya berjaya membuat jualan
sebanyak RM20,000 setakat ini.

“MYCyberSale pula, walaupun hanya dijalankan selama tiga hari, tetapi mampu
membuat jualan sebanyak RM67 juta.

Jadi, daripada penjualan melalui program MYCyberSale ini nanti, kita akan
kembangkan lagi penjualan herba secara dalam talian dan saya yakin bahawa produk
pertanian kita adalah baik kerana perkara asas-asas seperti dari segi
pembungkusan sudah bertambah bermutu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Ladang You Don Chao di
Sendayan dekat sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata pengusaha herba perlu memperluaskan teknik pemasaran
herba dan tidak bergantung kepada satu-satu bahasa sebagai medium penyampaian
maklumat produk.

“Setakat ini kebanyakan produk herba dipasarkan dalam Bahasa Melayu dan ia
boleh dikembangkan ke Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin kerana pengguna
berbangsa Cina merupakan pasaran yang besar,” katanya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan Seminar Pengeksportan Dalam Industri
Herba 2015, Ahmad Shabery berkata industri herba mempunyai potensi untuk
dibangunkan sebagai sumber baharu dalam memacu pertumbuhan sektor pertanian di
negara ini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai lebih 15,000 spesies tanaman herba dan
12,000 daripadanya dikatakan mempunyai nilai farmaseutikal yang tinggi.

“Ini berikan peluang yang besar kepada Malaysia untuk menjadi pengeksport
utama produk berasaskan bahan semula jadi berdasarkan kelebihan intrinsik negara
iaitu kekayaan biodiversiti kita,” katanya.

Sementara itu, Seminar Pengeksportan Dalam Industri Herba 2015 yang diadakan
selama tiga hari bermula semalam, diadakan bertujuan untuk mentransformasikan
industri herba negara, mewujudkan rantaian perniagaan herba peringkat tempatan
dan global serta meningkatkan kefahaman pendekatan pengurusan rantaian bekalan
herba dan prosedur larangan pengeksportan herba-herba terpilih.

Seramai 180 peserta yang terdiri daripada penanam, pengilang, pemborong dan
pengeksport produk herba menghadiri seminar ini.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY