KUALA LUMPUR, 2 Nov – Teliti Cadangan Kaukus….. Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan penubuhan Jawatankuasa Kaukus Parlimen menangani perjudian
bagi menyelesaikan masalah itu secara menyeluruh terutama perjudian secara
digital.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri
Dalam Negeri berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk dijadikan terma
rujukan sekiranya kaukus itu dilaksanakan kelak.
“KDN memandang positif cadangan ini kerana kaukus ini melibatkan penyertaan
semua pihak merentasi perbezaan ideologi politik, agama dan budaya dan saya
ucapkan terima kasih kepada semua anggota Parlimen (yang membuat cadangan) untuk
bersama-sama mengatasi masalah perjudian,” katanya ketika menggulung Rang
Undang-undang Perbekalan 2017 bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kementerian komited membendung aktiviti perjudian yang kini
boleh dilakukan melalui telefon bimbit, tabloid, komputer riba dan desktop.
Katanya antara modus operandi yang digunakan oleh sindiket perjudian
bagi mencari pelanggan baharu adalah dengan mempromosikan perjudian melalui
media sosial dan ia dikesan sejak tahun lalu.

“Kita juga telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) dan telah menggunakan peranti khas atau special
device yang dikenali sebagai ‘box SMS Frequency spice’ yang boleh mengesan
nombor telefon yang menghantar 30,000 SMS dalam tempoh satu jam pada jarak
sejauh 2km,” katanya.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang mengumpul maklumat
mengenai penglibatan pihak tertentu yang menjual data kepada pihak sindiket
selain bekerjasama dengan SKMM dan syarikat telekomunikasi (Telco) bagi menyekat
laman web dan talian telefon yang mempunyai jaringan dengan kasino dan aplikasi
menerusi telefon bimbit.
“PDRM juga mengadakan siri perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT), Jabatan Peguam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan
Air negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa agensi pengkuatkuasaan
untuk meminda undang-undang selain tindakan lain yang bersesuaian dengan kaedah
yang dilakukan,” katanya.
Katanya ia termasuk untuk meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang
memerlukan sokongan semua anggota Parlimen selain pendekatan kerohanian menerusi
kempen kesedaran membendung masalah judi.
Mengenai pusat perjudian haram yang berselindung disebalik lesen pusat
hiburan keluarga, Ahmad Zahid berkata KDN tidak pernah mengeluarkan mana-mana
lesen perjudian kerana ia dikeluarkan oleh PBT.

Mengulas lanjut, beliau berkata PBT dan kerajaan negeri khususnya
Selangor dan Sarawak turut digesa menghentikan pengeluaran lesen baharu bagi
mengelak munculnya lebih banyak pusat perjudian haram yang berlindung di sebalik
nama pusat hiburan keluarga. – WD MY