KUALA LUMPUR, 13 Okt – Rumah Sewa Kadar Murah….. Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang mewujudkan kediaman dengan kadar sewa rendah khusus untuk golongan belia bujang berpendapatan rendah di ibu kota.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata usaha itu bertujuan
membantu golongan itu menyewa bilik pada kadar rendah iaitu dari harga RM50 hingga RM80 sebulan.

“Ini untuk membantu mereka yang bekerja di hotel, restoran dan dalam semua sektor perkhidmatan industri di Kuala Lumpur di mana mereka akan mampu menyewa
bilik walaupun gaji mereka rendah.

“Kami merancang untuk membina rumah berkeluasan 650 kaki persegi setiap unit dan setiap unit akan mempunyai lima bilik, tandas dan ruang makan.

“Rumah ini juga akan dilengkapi kawasan meletak motosikal dan akan dibina berdekatan stesen LRT (Transit Aliran Ringan),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan upacara pecah tanah projek Persimpangan Pantai Sentral Park, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Tengku Adnan turut meminta kedua-dua pemaju tersebut menyediakan rumah mampu milik sebanyak 896 unit dengan harga RM245,000
ke bawah seunit bagi memberi peluang orang ramai memiliki kediaman di kawasan
Pantai Sentral Park.

“Jumlah unit sedia ada yang berkeluasan 850 kaki persegi seunit dilihat kurang mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi dan kalau boleh kita mahu pemaju jual pada harga seminimum mungkin dan meningkatkan jumlah unit demi membantu rakyat yang memerlukan kediaman,” katanya.‎ – WD MY