PORT DICKSON, 25 Mac – Cadangan…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sumber air bawah tanah akan dicadangkan menjadi sumber baharu air negara memandangkan penggunaannya pada masa ini masih di tahap rendah.
Ahmad Zahid berkata simpanan air bawah tanah kini berjumlah tiga trilion meter padu dan negara hanya menggunakan 1.5 peratus daripadanya.
 “Negara kita mempunyai sumber air yang banyak dan (menerima) sebanyak 907 bilion meter padu taburan hujan setahun dan adalah sesuatu yang luarbiasa, tetapi kita tak cukup air.

“Mustahil negara yang banyak sumber air tetapi menghadapi kekurangan air… ertinya kita mempunyai kelemahan dari segi pengurusan air. Sebagai pengerusi Majlis Sumber Air Negara, saya terpukul kalau ada negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kekurangan air… ini adalah cabaran besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2017 peringkat kebangsaan di Dataran Teluk Kemang di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata pengurusan air yang cekap adalah menjadi tangungjawab semua pihak baik di peringkat kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri bagi mengelakkan berlakunya kekurangan air.

“Kita ambil contoh Somalia… sebanyak 250 orang mati setiap hari akibat kemarau… kita bantu Somalia cari air bawah tanah walaupun 150 meter bawah tanah supaya boleh melakukan pengairan di kawasan pertanian yang kering kontang.

“Ini sumbangan kita melalui teknologi. Kalau kita mempunyai kemampuan untuk bantu negara lain, tentunya kita harus buktikan kita boleh urus air dengan baik,” katanya.

 Sementara itu, Ahmad Zahid turut menggariskan empat fokus utama bagi kemampanan industri perkhidmatan pembetungan negara.
Empat fokus itu ialah modenisasi perkhidmatan pembetungan melalui aplikasi teknologi baharu yang lebih mesra alam dan perluasan liputan dan akses di luar bandar termasuk bandar besar di luar Lembah Klang.
Turut diberikan fokus ialah rasionalisasi loji kumbahan kecil dan tidak ekonomik bagi mengurangkan kesan pencemaran efluen kepada alam sekitar serta usaha pengkomersialan ‘sisa kepada kekayaan’.  – WD MY