KUALA LUMPUR, 22 Nov – Berasas……. Cadangan untuk meminda Perlembagaan UMNO
bagi memasukkan klausa baharu mengenai jawatan pemangku Timbalan
Presiden adalah berasas, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor.
Beliau berkata saranan itu, yang diutarakan Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak harus dinilai atau disalah tafsir oleh
mana-mana pihak.
“Jika diteliti ucapan beliau (Ahmad Zahid), adalah jelas sekali kenyataannya
itu mempunyai asas iaitu beliau telah melihat betapa rumitnya Tun Abdullah Ahmad
Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu terpaksa menjalankan tugas tanpa
pemangkuan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya cadangan Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO dan
menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, hendaklah dibawa ke peringkat parti
terlebih dahulu sebelum sebarang pindaan Perlembagaan boleh dilakukan.
Justeru itu, katanya kenyataan itu tidak harus dipolemikkan kerana ia sangat
jelas dan nyata.

Tengku Adnan berpendapat cadangan Ahmad Zahid dibuat bagi membawa
penyelesaian jangka panjang untuk parti, dan bukannya atas kepentingan peribadi.

“Penyelesaian kepada keadaan seumpama ini, jika menurut Timbalan Perdana
Menteri, juga harus meliputi jawatan-jawatan lain seperti pemangkuan oleh
Timbalan Ketua UMNO Bahagian apabila Ketua Bahagian meninggal atau seumpamanya,”
katanya. – WD MY