KUALA LUMPUR, 16 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)
mengambil maklum pengumuman Yang Berhormat Menteri, Dato’ Sri Ahmad Shabery
Cheek baru-baru ini mengenai keputusan kerajaan yang menetapkan bahawa GST
(Cukai Barangan dan Perkhidmatan) atas prabayar hanya akan dicaj semasa
penggunaan sahaja; sebagai contoh, ketika membuat panggilan, menghantar pesanan
ringkas atau melanggan jalur lebar. Ini bermakna kad tambah nilai prabayar
telefon dijual pada harga RM10 akan mendapat nilai yang sama apabila diaktifkan.

“Pihak MCMC akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk
memastikan pelaksanaan sistem GST berasaskan penggunaan berjaya dilaksanakan
dalam tempoh enam bulan oleh syarikat telekomunikasi yang terlibat seperti yang
diarahkan oleh kerajaan. Selain itu, pengauditan juga akan dilakukan bagi
memastikan ketepatan nilai potongan GST berdasarkan nilai kredit yang telah
digunakan,’’ kata Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie.

Mengenai saranan Menteri supaya syarikat-syarikat telekomunikasi memperkenalkan
diskaun untuk kumpulan sasar tertentu; sebagai contoh, golongan pelajar, perkara
ini akan dipantau dari segi pelaksanaannya.

“JKDM akan mempergiat pemantauan ke atas pembangunan proses penukaran GST
berasaskan penggunaan untuk tambah nilai prabayar agar pelaksanaan sistem ini
berjalan lancar dan telus bagi mengelak kekeliruan yang akan timbul pada masa
hadapan,’’ kata Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Sri Khazali bin Haji Ahmad.

Sementara itu, pengenaan GST atas tambah nilai prabayar akan diteruskan pada
kaedah sedia ada sehingga sistem ‘beli RM10 dapat RM10’ dilaksanakan.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY