KUALA LUMPUR, 30 OKT – CALON… MCA gembira dengan calon yang diputuskan untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata calon itu dimuktamadkan pada mesyuarat antaranya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menerusi Skype, lewat petang tadi.

Ka Siong yang jelas tersenyum kegembiraan, turut mengesahkan calon itu akan diumumkan di Pusat Gerakan BN di Tanjung Piai sekitar jam 8.30 malam esok.

“Sudah tentu (gembira dengan calon). Kita sudah buat keputusan dan akan diumumkan esok di Pusat Gerakan BN di Tanjung Piai. Kamu tengoklah wajah saya (sambil tersenyum),” katanya.

Ditanya sama ada calon itu adalah anak tempatan, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu hanya meminta wartawan menunggu pengumuman esok, namun menjelaskan individu yang diputuskan sebagai calon BN itu boleh diteka dengan mudah.

Calon BN bagi PRK itu masih menjadi teka-teki ketika ini berikutan majlis pengumuman calon yang dijangka semalam ditangguhkan, sebaliknya hanya jentera parti itu yang dilancarkan.

Sumber Pemuda UMNO turut membayangkan kemungkinan calon MCA bakal dipilih, berdasarkan nasihat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menasihati anggota sayap parti itu berlapang dada dan menerima apa juga keputusan pimpinan.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Tanjung Piai. – WD MY