JAKARTA, 18 Jan – CALON….. Presiden Indonesia, Joko Widodo bertikam lidah dengan seteru pilihan raya, Prabowo Subianto mengenai beberapa isu termasuk rasuah dan penguatkuasaan undang-undang dalam debat pertama, semalam, tiga bulan sebelum pengundian di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan pengulangan persaingan pada 2014, di mana Widodo berjaya mengalahkan jeneral bersara dengan tipis dan muncul sebagai presiden pertama daripada luar golongan elit politik dan tentera.

Menjelang kempen itu, kebanyakan tinjauan pendapat memberikan Widodo kedudukan pendahulu dua angka berbanding Prabowo. Bagaimanapun, pendirian suku pengundi masih tidak diketahui.

Semua calon untuk pilihan raya yang dijaudalkan pada 17 April depan itu ditanya mengenai isu hak asasi manusia, rasuah dan keganasan di negara keempat paling ramai penduduk dunia terbabit.

 

Widodo berkata, pasukan beliau ‘menawarkan keyakinan’ manakala Prabowo, 67, menekankan isu kemiskinan dan jurang pendapatan yang menjejaskan lebih 250 juta penduduk negara itu.

Widodo yang berpakaian putih kadang-kadang kelihatan berang mempertahankan rekod beliau, ketika seterunya berulang kali mempersoalkan sistem perundangan negara dan rasuah meluas.

Prabowo yang berpakaian hitam dan bertali leher merah berjanji untuk mengambil tindakan drastik terhadap pesalah rasuah dengan mencadangkan mereka patut diasingkan di pulau kosong dan dikenakan kerja-kerja buruh. – WD MY