KUALA LUMPUR, 29 Dis – Canggih dan elegan…….Tren generasi baharu Rapid KL Laluan Kelana Jaya, yang  mampu meningkatkan kapasiti penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan itu sebanyak 30 peratus.
Tren generasi baharu empat gerabak Rapid KL yang dikenali Kuala Lumpur
Additional Vehicle (KLAV) mula beroperasi hari ini dengan struktur reka bentuk
moden dan mampu memuatkan 800 penumpang pada satu masa berbanding tren dua
gerabak sedia ada dengan kapasiti 472 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman
berkata sebanyak 14 tren KLAV model Bombardier Innovia Metro 300 akan
beroperasi dan menggantikan tren dua gerabak secara berperingkat sehingga
pertengahan 2017.
Katanya buat masa ini, jumlah penumpang di laluan itu kini telah mencapai
260,000 orang sehari dan menerusi penambahan set tren baharu tersebut, beliau
menjangkakan bahawa jumlah penumpang akan meningkat kepada 300,000 menjelang Jun
2017.
 Dalam pada itu, Zohari berkata menerusi penambahan tren itu, ia juga akan
mengurangkan kadar kekerapan perkhidmatan tren yang dahulunya dianggarkan 3.5
minit kepada tiga minit.
“Kami yakin dengan beroperasinya tren baharu ini, pengguna akan menikmati
pengalaman yang lebih bermakna serta keselesaan yang dipertingkatkan sejajar
dengan misi kami menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya kepada
media selepas sesi operasi hari pertama tren baharu itu, di sini hari ini.
Buat masa ini, tren laluan itu beroperasi dengan kombinasi tren empat
gerabak dan dua gerabak dengan purata 48 unit tren setiap hari pada waktu
puncak.
Hari ini, pihak media diberi peluang untuk menaiki tren baharu tersebut
dari stesen Ara Damasara hingga ke stesen Ampang Park.
 Tren empat gerabak tanpa pemandu ini direka oleh syarikat Bombardier
Transport dari Kanada dengan dilengkapi ciri-ciri baharu seperti peta laluan
dinamik yang menunjukkan arah perjalanan, empat kamera litar tertutup dan ruang
tempat duduk khas untuk orang kurang upaya.
Kos pembelian kesemua 14 tren berjumlah kira-kira RM577.7 juta, dan ia
menggunakan kepakaran kejuruteraan minyak pelincir yang bertindak mengurangkan
bunyi bising dan juga mampu menjimatkan tenaga elektrik serta berkonsepkan mesra
alam sekitar.
Tambah beliau, dengan adanya bilangan tren yang banyak, ia memudahkan pihak
Rapid KL untuk membuat penyelenggaraan dan susunan jadual tren sekali gus mampu
mengatasi masalah teknikal yang dihadapi.
“Dengan adanya kemudahan seperti ini masalah-masalah teknikal yang kecil
dapat diatasi,” katanya. – WD MY