KUALA LUMPUR, OGOS 10:FORMULA….Barisan Nasional (BN) tidak perlu dibubarkan atau digantung sementara, sebaliknya kepemimpinan perlu mencari formula untuk memperkukuhkan lagi parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Pensyarah politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata walaupun BN kini hanya tinggal tiga parti komponen di dalamnya, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk dibubarkan.

“BN tidak perlu dibubarkan atau digantung sementara sebab tiga parti komponen yang dahulunya membentuk parti Perikatan masih wujud. Setiap parti politik ada jatuh dan bangunnya, namun ia bukan pengakhiran.

“Dalam suasana politik hari ini dan lebih-lebih lagi apabila BN menerima tamparan hebat selepas kehilangan tampuk pemerintahan buat pertama kali, tiga parti komponennya perlu mencari jalan untuk mengukuhkan lagi BN,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azizuddin berkata, tindakan membubarkan atau menggantung BN seharusnya menjadi langkah terakhir dengan parti komponennya boleh mewujudkan gabungan dengan parti politik lain.

Sementara itu, pengarah firma penyelidikan politik Sky Data, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata UMNO, MCA dan MIC perlu duduk semeja serta berbincang untuk menentukan hala tuju parti masing-masing.

“Sama ada perlu bersama atau membubarkan gabungan BN yang sedia ada, kepemimpinan ketiga-tiga parti perlu berbincang.

“Jika mana-mana parti ingin mengadakan kerjasama politik dengan parti lain, ia harus diperhalusi sama ada kerjasama bersifat sementara atau kerjasama kekal.

“Sebagai contoh, kerjasama UMNO dengan PAS. Adakah ia berbentuk sementara atau kerjasama dalam bentuk tahaluf siyasi kerana dalam lanskap politik kini, sebarang perubahan boleh berlaku demi untuk menyesuaikan diri dan menghadapi politik era baharu di negara ini,” katanya.-MY WD