MANILA, 20 Sept – CARI JALAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi tempoh jangka panjang untuk memastikan pusat tahfiz di negara ini mempunyai pelan strategik untuk pembangunan holistik, bersepadu dan profesional.

Ahmad Zahid juga akan mengadakan pertemuan bersama pengusaha pusat terbabit bagi berbincang, terutama daripada aspek pengurusan dan keselamatan dalam usaha meningkatkan semula imej institusi pendidikan Islam itu.

“Saya juga meminta pihak yang berwajib dapat mengadakan sesi ‘town hall’ dengan mereka (pengendali pusat tahfiz) supaya isu seperti pertelingkahan dan saling menuding jari tidak berlaku apabila masalah seperti kebakaran berlaku.

“Mungkin mereka juga tidak tahu perbincangan membabitkan jawatankuasa tertinggi mengenai sekolah agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisasi dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) di Hotel Conrad Manila, hari ini.

 

Ahmad Zahid berkata, syor yang dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz di Putrajaya kelmarin, adalah pelan tindakan jangka panjang dalam menentukan hala tuju pusat tahfiz.

“Ia (jawatankuasa) antara lain mengesyorkan pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan pentadbiran institusi pendidikan Islam swasta, termasuk sekolah tahfiz tertakluk kepada akta berkenaan,” katanya.

Kerajaan juga mahu lepasan pusat tahfiz turut terbabit dalam bidang lain, termasuk teknikal dan profesional.

“Bukan semua 150,000 penuntut maahad tahfiz yang ada ketika ini sekadar menjadi imam masjid,” katanya. – WD MY