PUTRAJAYA, 25 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
akan mencari kaedah untuk mempercepatkan proses kelulusan pinjaman usahawan tani
belia India melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

Menurut Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika ini pinjaman untuk
usahawan India disalurkan oleh Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan
India (SEED) di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada Tekun yang bertindak
sebagai penyelaras pinjaman.

“Mungkin kita akan bincang sama ada perlu selepas ini dana itu dimasukkan
melalui SEED atau dihantar terus kepada Tekun sebab kalau terlampau banyak
lapisan akan berlaku birokrasi.

“Belia yang berminat dengan bidang pertanian ini kalau terlampau lama
menunggu akan membantutkan minat mereka, sebab itu mesti percepatkan,” katanya
kepada media selepas melancarkan majalah bulanan Yayasan Gerakan Tindakan
Afirmatif Baharu (NAAM), di sini hari ini.

Ia merupakan majalah pertanian pertama dalam dwibahasa iaitu Bahasa Tamil
dan Bahasa Melayu yang diterbitkan di negara ini bagi maklumat terkini mengenai
sektor itu khususnya kepada belia India.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan yang juga
Pengasas Yayasan NAAM berkata ada usahawan belia India di bawah yayasan itu yang
terpaksa menunggu sehingga sembilan bulan untuk mendapatkan pinjaman Tekun.

“Ini adalah tempoh yang sangat lama sehingga peserta hilang minat untuk
teruskan projek,” katanya.

Setakat ini Yayasan NAAM dengan kerjasama Unit Agropreneur Muda di bawah
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berjaya melahirkan 184
usahawan muda India dengan 109 daripadanya terlibat dalam projek tanaman cili
fertigasi.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY