BAGAN DATUK, 12 Jun – Bidang Keusahawanan……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa golongan muda menceburi bidang keusahawanan bagi mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.

Beliau berkata jika sebaliknya jika mereka hanya mahu bekerja ‘makan gaji’, golongan muda akan terus berada dalam kelompok orang yang mencari pekerjaan.

“Jika makan gaji, jadual kita ditentukan oleh majikan, segala-galanya terikat dan terkongkong… walaupun ada kreativiti tetapi ia tidak meluas.

“Menjadi usahawan, pendapatannya tidak tetap, tetapi jika bekerja keras dan bijaksana, maka pendapatan kita tidak ikut acuan (melebihi) makan gaji,” katanya berucap merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Peringkat Negeri Perak di Simpang Tiga di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kerajaan menyediakan pelbagai skim, dana dan inisiatif kepada golongan muda untuk menjadi usahawan yang seharusnya peluang itu digunakan sebaik mungkin.

Sementara itu, pada Majlis Ihya Ramadan 1438H Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, di Dewan FAMA Bagan Datuk, Ahmad Zahid menyampai sumbangan kepada 155 ketua isi rumah (KIR) miskin; 155 ibu tunggal; 110 anak yatim dan 90 orang kurang upaya (OKU).

Pada majlis sama di Hutan Melintang pula, 664 orang menerima bantuan ihya Ramadan terdiri daripada 185 KIR miskin, 185 ibu tunggal, 178 anak yatim dan 116 OKU.

Pemberian wang tunai itu sumbangan Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin, syarikat HeiTech Padu Berhad dan keluarga Ahmad Zahid.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya. – WD MY