Cecair Nitrogen Dalam Produk Makanan Tidak Berbahaya

0
90

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Tidak Bahaya…… Pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan perlu memastikan ia meruap sepenuhnya sebelum dijual bagi mengelak melecur atau radang dingin (frostbite).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata cecair itu perlu digunakan pada tahap bersesuaian bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan, iaitu untuk membekukan produk.

“Pada amnya, selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal dalam produk makanan siap.

“Oleh itu, isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan cecair nitrogen adalah gas nitrogen tidak berbahaya yang disejukkan ke suhu yang sangat rendah (-196°C) sehingga menjadi cecair.

“Cecair nitrogen digunakan dalam banyak aplikasi industri makanan seperti penyejukan serta-merta ais dan dalam pembuatan ais krim.

“Cecair nitrogen juga digunakan dalam pembekuan serta-merta (flash freezing) makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus yang mana ia menghasilkan ‘novelty’ kepada pengguna apabila asap dihembus keluar semasa makan,” kata beliau.

Beliau berkata, pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Kesihatan melalui pejabat kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). – WD MY