JOHOR BAHRU, 28 Julai – Cedera…… Lima pengunjung sebuah pusat beli belah di Taman Bukit Indah di sini, cedera ringan apabila dirempuh sebuah kereta ketika beratur untuk membayar tiket parkir, tengah malam tadi.

Pada 12.30 tengah malam tadi, pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika hendak meletakkan kenderaannya di kawasan pusat beli belah itu sebelum terlajak dan melanggar pengunjung lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Deputi Superintendan Kumarasan Muniandy, berkata akibat kemalangan itu orang awam yang sedang beratur untuk membayar tiket parkir itu cedera ringan apabila dilanggar kereta terbabit.

“Dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dengan ambulans, manakala tiga lagi mangsa dibawa menggunakan kenderaan persendirian untuk mendapatkan rawatan.

“Lelaki yang juga pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kenderaannya rosak di bahagian hadapan akibat kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video dan gambar kejadian itu turut dikongsi seorang saksi di tempat kejadian dan dimuat naik dalam laman sosial Facebook (FB) sehingga viral sejak pagi tadi. – WD MY