MANILA – FILIPINA, 14 FEB – TAHAN….. Ketua pegawai eksekutif, laman berita Rappler yang berpandangan kritikal terhadap kerajaan Filipina dilapor ditahan di Manila, semalam.

Maria Ressa dituduh melakukan fitnah siber berkaitan satu artikel hubungan rapat seorang ahli perniagaan dengan seorang bekas hakim mahkamah tinggi Filipina.

Kes berkenaan jatuh di bawah undang-undang kontroversi fitnah siber yang berkuatkuasa pada September 2012, empat bulan selepas artikel terbabit diterbitkan.

Kes difailkan kali pertama pada 2017, namun ia dibatalkan oleh Biro Penyiasatan Kebangsaan (NBI) kerana had masa setahun untuk mengemukakan kes fitnah telah luput, namun pada Mac tahun lalu, NBI membuka semula kes.

Penahanan Ressa berlaku dua bulan selepas dia membayar ikat jamin berhubung kes penipuan cukai yang didakwanya hanya satu rekaan.

Sekiranya disabitkan bersalah atas tuduhan penipuan cukai, Ressa berdepan hukuman penjara 10 tahun, manakala tuduhan fitnah siber membawa hukuman penjara maksimum 12 tahun.

Ia merupakan tuduhan terbaharu yang dikenakan terhadap Ressa, di mana organisasi berita kendaliannya dianggap sebagai berita palsu oleh Presiden Rodrigo Duterte.

Penyokong kebebasan media melihat penahanan wartawan veteran terbabit sebagai langkah kerajaan Duterte untuk ‘menutup mulut’ laman berita berkenaan.-WD MY