MELAKA, MAC 21 – CERITA…Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyelar pembangkang yang hanya pandai membuat cerita dongeng dan menabur janji kosong sahaja.

“Pembangkang banyak berjanji. Tanya dia saja bagaimana air di Selangor, bagaimana terowong di Pulau Pinang…siapa buat rumah tak mampu milik,” katanya merujuk kepada kelemahan pembangkang dalam menyediakan infrastruktur kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan teh Perdana Menteri bersama rakyat dan pelancaran jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Bukit Katil.

Malah menurut Najib berkata pembangkang juga sering memperlekeh dan menyebar pembohongan terhadap usaha BN dalam pembangunan negara.

Mengambil contoh bekas lokasi Pangkalan Udara (PU) Sungai Besi yang bakal dibangunkan semula, kata Najib pembangkang telah menfitnah kononnya projek tersebut telah dimiliki China, tetapi pada hakikatnya ia adalah milik Malaysia.

Najib berkata baru-baru ini, beliau juga telah melakukan lawatan kerja ke PU Sendayan, Seremban dan bertemu dengan anggota tentera di sana.

Beliau berkata ada anggota tentera yang mengeluarkan air mata kerana gembira dapat kemudahan perumahan yang selesa disediakan oleh kerajaan.

“Jangan percaya kerana mereka (pembangkang) hanya banyak tipu dan sekarang ini mereka hasut budak kecil pasal GST padahal dengan GST lah kerajaan sediakan kemudahan seperti sekolah serta hospital dan banyak lagi dapat dibuat,” katanya. – MY WD