SHANGHAI, 17 MacĀ  – LAKSANA…. China akan melaksanakan sistem kredit tingkah laku terhadap perkhidmatan penerbangan atau kereta api untuk melarang individu yang pernah menimbulkan masalah daripada menggunakan pengangkutan sedemikian selama setahun.

Mereka yang akan disenaraikan dalam sistem itu termasuk yang pernah menyebarkan maklumat salah mengenai keganasan, menyebabkan gangguan penerbangan, menggunakan tiket luput atau merokok dalam kereta api, kata kenyataan di laman web Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Nasional.

Menurut kenyataan pada 2 Mac lalu itu, mereka yang mempunyai kesalahan kewangan seperti majikan gagal membayar insuran pekerja dan mereka yang belum membayar denda juga akan disekat.

Katanya, dasar itu akan berkuatkuasa mulai 1 Mei depan.

Tindakan itu sejajar dengan rancangan Presiden Xi Jinping untuk menubuhkan sistem kredit sosial berdasarkan prinsip ‘sekali salah, sentiasa disekat’, kata notis yang turut ditandatangani lapan kementerian termasuk agensi kawal selia penerbangan dan Mahkamah Agung China. – WD MY