BANGKOK, MEI 25:PRESTASI…Prestasi menyerlah Datuk Lee Chong Wei sepanjang Piala Thomas yang sedang berlangsung di Bangkok menjadi titik tolak buatnya untuk menghadapi kejohanan utama yang lain.

Untuk rekod, pemain berusia 36 tahun itu tidak memenangi kejuaraan di Sukan Olimpik, Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan Piala Thomas.

Chong Wei beberapa kali mengakui bahawa dia bukan lagi sehebat dulu dan berdepan kesukaran apabila berdepan pemain muda.

Bagaimanapun, dia membuktikan masih menjadi antara pemain terbaik apabila mengejutkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dalam aksi terakhir Kumpulan D, kelmarin.

Malaysia tewas 2-3, tetapi ia adalah permainan hebat Chong Wei yang menarik perhatian.

Bulan lepas, Chong Wei menunjukkan kehebatannya dengan memenangi pingat emas Sukan Komanwel yang kelima selepas mengatasi K Srikanth di Gold Coast.

“Kejayaan (menewaskan Axelsen) adalah satu perkara yang membanggakan, ia satu perasaan yang cukup baik selepas menang, terutama selepas kalah kepadanya tiga kali berturut-turut sebelum ini.

“Kemenangan itu dapat memulihkan keyakinan dalam permainan saya,” kata Chong Wei.

Selepas Piala Thomas, Chong Wei kemungkinan akan beraksi di Terbuka Malaysia bulan depan sebelum mengalihkan fokus ke Kejohanan Dunia di Nanjing pada 30 Julai hingga 5 Ogos depan.-MY WD