KUALA LUMPUR, 20 Nov – LANCAR…. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini melancarkan pusat Pemodelan Maklumat Pembinaan (myBIM).

Ia adalah pusat sehenti yang berperanan sebagai tempat rujukan untuk mempromosi dan meningkatkan penggunaan sistem BIM dalam kalangan penggiat industri pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, berkata dengan pelaburan RM3 juta, pusat itu membolehkan peserta industri membuat model dan melihat projek pembangunan dalam simulasi menggunakan BIM.

“Sistem BIM adalah teknologi pemodelan untuk menghasilkan, menghubung dan menganalisis maklumat digital model-model sepanjang perkembangan projek pembinaan.

“Kemampuan untuk menganalisis ciri fizikal setiap elemen secara maya sebelum kerja-kerja pembinaan bermula membantu meningkatkan keberkesanan dan kualiti serta produktiviti keseluruhan proses pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pusat myBIM yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini.

Pusat myBIM menyediakan kemudahan, peralatan dan perisian yang merangkumi bilik seminar dengan sistem audio visual yang lengkap bagi program latihan serta akreditasi kemahiran.

Selain itu, CIDB turut menyediakan Studio myBIM yang dilengkapi stesen kerja BIM dengan kapasiti 22 orang serta Makmal myBIM yang terdiri daripada bilik latihan dengan panel sentuh yang besar dan 20 stesen kerja.

Ahmad ‘Asri berkata, semua perisian dan peralatan BIM di pusat berkenaan ditawarkan secara sewaan harian bagi membolehkan penggiat industri memanfaatkan teknologi BIM tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi. – WD MY