KUALA LUMPUR, JUN 10:SUDI…Pelakon, Rozita Che Wan, mengaku rindu untuk kembali menjayakan watak yang membantu melonjakkan namanya dalam dunia seni, Kiah Pekasam.

Karakter berkenaan sememangnya cukup sinonim dengan wanita jelita berusia 45 tahun ini, apatah lagi sudah lapan tahun siri televisyen terbitan Zeel Production itu menemui penonton.

Selain siri komedi, Kiah Pekasam juga diterbitkan dalam bentuk telefilem. Dalam cerita berkenaan, Rozita atau Che Ta memegang watak janda bernama Kiah yang menampung kehidupannya dengan menjual ikan pekasam.

“Jika ada lagi peluang untuk saya membawakan watak itu, semestinya saya takkan menolak. Apatah lagi, ia diterbitkan oleh syarikat yang sudah biasa bekerjasama dengan saya. Bukan sekadar membuatkan saya selesa bekerja, mereka juga tidak berkira.

“Sememangnya saya rindu untuk kembali menjadi Kiah Pekasam. Tidak sangka, sudah lapan tahun usianya,” kata Che Ta

Menurut artis yang turut dikenali sebagai usahawan berjaya itu, watak dan drama berkenaan meninggalkan nostalgia tersendiri buat dirinya.

“Watak dan cerita Kiah Pekasam bukan kosong, sebaliknya sentiasa tampil bersama mesej yang boleh dicontohi. Kiah sendiri menjadi lambang wanita berdikari apabila hidup tanpa suami di sisi.

“Dia mengubah persepsi orang kampung terhadap dirinya dan mencetus fenomena baharu di sana. Kiah juga banyak mengajar golongan wanita supaya bijak bergaya.

“Saya dengar cerita, pihak produksi sedang membuat perancangan untuk mengembalikan cerita berkenaan ke kaca TV. Kalau jadi, saya tak keberatan menghidupkan watak itu sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, menyentuh soal persiapan hari raya, Che Ta menyediakan 20 pasang baju untuk dirinya, suami dan anak.

“Seperti biasa, pada hari raya pertama, kami sekeluarga akan beraya di rumah nenek Zain di Gombak. Pada hari raya kedua barulah kami bertolak ke Kedah. Insya-Allah, pada raya keempat pula saya merancang untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan sanak-saudara, jiran dan teman.

“Tahun ini, saya belum lagi merancang untuk bercuti ke mana-mana destinasi dalam masa terdekat. Mungkin pada September dan hujung tahun nanti baru kami akan melancong ke luar negara,” katanya.-MY WD