ALOR SETAR, 21 Jan – RANCANG…. Perbankan CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) merancang membuka cawangan pertama CIMB Islamik di Kedah pada suku kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata cawangan itu bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap produk perbankan berasaskan Syariah.

Katanya, hingga kini CIMB Islamik mempunyai 14 cawangan di Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, Kedah akan menjadi negeri ketiga di Malaysia yang mempunyai cawangan CIMB Islamik yang menawarkan semua perkhidmatan dan produk yang ada pada bank konvensional.

“Hingga kini kita masih mengkaji keperluan membuka cawangan CIMB Islamik pertama di Kedah untuk memenuhi permintaan pelanggan kita di negeri ini.

“Namun permintaan terhadap produk Islamik di wilayah utara adalah tinggi selain di Kelantan dan Terengganu yang sudah mempunyai cawangan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, walaupun Kedah belum mempunyai cawangan CIMB Islamik, produk Islamik sudah ditawarkan di semua cawangan bank itu di negeri ini.

Tengku Zafrul ditemui ketika penganjuran Karnival Kewangan Kedah 2018 yang berlangsung dari Jumaat hingga hari ini di Pusat Konvensyen dan Hotel TH.

Selain astaka CIMB Group, karnival itu turut menghimpunkan 53 institusi kewangan membabitkan 19 bank, 11 syarikat insurans, takaful, 23 persatuan dan agensi kerajaan berkaitan yang akan memberi khidmat nasihat dan menawarkan produk kewangan. – WD MY