KUALA LUMPUR, 28 April – CIMB Holdings Bhd menjangka keuntungan
CIMB Niaga, operasi kumpulan itu di Indonesia, meningkat dengan ketara pada suku
kedua.

Pengerusi Datuk Seri Nazir Razak berkata prestasi itu akan disokong oleh
hasil CIMB Niaga yang baik, termasuk perolehan, pertumbuhan pinjaman, margin
faedah bersih dan lain-lain.

“Saya anggarkan prestasi akan lebih baik pada suku kedua, berikutan
peruntukan masih akan dinaikkan dan meningkat dengan ketara pada separuh kedua
2015,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu di
sini hari ini.

Ketua Eksekutif, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz,
berkata sasaran pertumbuhan pinjaman kumpulan itu pada tahun ini ialah 10
peratus, didorong oleh sehingga sembilan peratus pertumbuhan daripada operasi
Malaysia.

Beliau berkata operasi kumpulan di Indonesia, Singapura dan Thailand
dijangka menyumbang pertumbuhan pinjaman dua angka kepada prestasi keseluruhan
kumpulan itu pada tahun ini.

Sejajar dengan inisiatif Sasaran 2018 kumpulan itu, yang menyasarkan
mempunyai kedudukan kukuh di semua negara ASEAN menjelang 2018, Zafrul berkata
CIMB sedang mengkaji untuk memohon lesen bagi beroperasi di Filipina, satu
daripada dua buah negara yang ia masih belum mempunyai operasi.

“Sebuah lagi negara ASEAN itu ialah Vietnam. Kami sedang mempertimbangkannya
pada masa ini dan telah memohon lesen untuk beroperasi di sana.

“Menjelang 2018, kami yakin kami boleh mempunyai operasi di semua pasaran di
ASEAN,” katanya. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY