KOTA KINABALU, 15 MEI – SALAHKAN….. Pejabat Ketua Menteri Sabah menuduh penulis blog cuba melagakan parti Warisan Sabah dengan polis Cawangan Khas (SB).

Pejabat Shafie Apdal menegaskan bahawa kerajaan Sabah tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang pegawai polis SB menghadiri majlis awam melibatkan ketua menteri.

“Kerajaan tidak pernah menghalang pegawai SB menghadiri majlis dan sidang media ketua menteri.

“Tiada dasar seperti itu. Tiada arahan daripada ketua menteri atau dasar kerajaan untuk menghalang sesiapa menghadiri sidang media, kerana apa yang dikongsikan dalam sidang media adalah maklumat awam.

“Maka jelas penulis blog itu mereka cerita tentang larangan ini untuk memprovokasi atau merosakkan hubungan kerajaan dengan polis,” katanya.

Kenyataan media itu juga berkata perkara berkenaan dibangkitkan oleh portal berita berdasarkan “khabar angin yang disebarkan oleh penulis blog, yang diketahui mempunyai motif dan agenda tersendiri”.

Kenyataan media itu bagaimanapun tidak menyebutkan penulis blog atau portal berita yang dimaksudkan.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan bahawa Naib Presiden Warisan Junz Wong dikatakan meminta pegawai SB meninggalkan sidang media yang dihadirinya, dengan mendakwa bahawa pegawai SB itu menyamar sebagai wartawan.

Laporan Free Malaysia Today juga memetik seorang pegawai SB berkata bahawa rakan setugasnya beberapa kali dihalang menghadiri sidang media pemimpin Warisan, termasuk yang dihadiri ketua menteri.

Pegawai SB biasanya berpakaian biasa, dan ditugaskan untuk menjaga keselamatan premis untuk menteri, dan meneutralkan ancaman sebelum dan semasa majlis yang melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kemudian mengulas bahawa beliau terkejut mengetahui perkara itu dan mengingatkan bahawa menghalang pegawai SB menjalankan tugas adalah melanggar undang-undang.

Wong kemudian menjelaskan bahawa Warisan tidak menghalang anggota polis menghadiri acara mereka dan mengesahkan pihaknya pernah meminta pegawai SB meninggalkan program.

“Kita tidak boleh ada orang yang datang program dengan menyamar sebagai wartawan,” katanya. – WD MY