NILAI, 28 April – Coca-Cola Terus Tambah Pelaburan….Pengeluar minuman terkemuka dunia, Coca-Cola Company menerusi anak syarikatnya, Coca-Cola Bottlers (M) Sdn Bhd (CCBM) mengulangi komitmen untuk terus menambah pelaburan di Malaysia kerana yakin dengan suasana ekonomi yang stabil dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan Coca-Cola Singapura-Malaysia-Brunei, Stephen James Lusk, berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan kerjasama dan sokongan kerajaan yang membolehkan kilang mereka beroperasi dengan lancar.

“Kilang pengeluaran Coca-Cola ini mula beroperasi pada 2011 dan kini menjadi antara kilang pembotolan yang paling moden serta produktif di rantau ini dengan pengeluaran pelbagai variasi.

“Sejak lima tahun lalu, kita sudah melabur sejumlah RM1 bilion di Malaysia, terutama di Negeri Sembilan dan memberi peluang pekerjaan kepada 800 warga tempatan secara langsung dan tidak langsung hingga 8,000 orang.

“Kita akan memperluaskan fungsi kilang di sini bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran kerana negara ini adalah pusat pengeluaran untuk pasaran Malaysia, Singapura Dan Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran rantaian pengeluaran baharu Coca-Cola sempena meraikan pelaburan syarikat itu di Malaysia yang mencecah RM1 bilion, di Bandar Enstek pada kelmarin.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Lusk berkata, penambahan rantaian pengeluaran itu membolehkan pihaknya mempelbagaikan portfolio dan saiz hidangan, termasuk menghasilkan pek lebih kecil bagi memenuhi kehendak pelanggan. – Sofea Nawar, CF (WD MY)

LEAVE A REPLY