KOTA KINABALU, 5 Feb – EDAR… Bagi mengelak pemandu mengantuk ketika pulang ke kampung menyambut perayaan pada saat akhir, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah menyediakan ‘Coffee Corner’ dengan mengagihkan minuman panas secara percuma, tengah malam tadi.

Aktiviti yang bermula jam 12 tengah malam itu dibuat di Jalan Kepayan, di sini, dengan membabitkan tiga pegawai dan 15 anggota diketuai Timbalan Ketua JSPT Sabah, Deputi Superintendan Parum Niot.

Parum berkata, penyediaan Coffee Corner adalah sebagai salah satu inisiatif JSPT Sabah untuk mencegah kemalangan jalan raya pada Op Selamat 14 Tahun Baharu Cina 2019.

“Sasaran adalah kepada pengguna jalan raya yang memandu pada waktu malam dan yang akan memandu dalam jarak yang jauh.

“Dengan adanya Coffee Corner ini, pegawai dan anggota yang bertugas akan mengagihkan minuman panas kepada pemandu. Ini dapat menyegarkan dan mengelak mereka daripada mengantuk ketika memandu,” katanya ketika ditemui.

Parum berkata, pengguna jalan raya juga boleh mendapat khidmat dan bantuan daripada petugas JSPT yang sedang bertugas di payung Op Selamat sekiranya menghadapi sebarang masalah.

“Aktiviti itu dilaksanakan di semua daerah dan lokasinya di laluan yang dikenalpasti sebagai ‘black spot’ iaitu kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya.

“Adalah diharapkan aktiviti ini akan dimanfaatkan oleh pengguna jalan raya sekali gus dapat mengurangkan kemalangan jalan raya,” katanya. – WD MY