Comey Dakwa Difitnah Pentadbiran Presiden Trump

0
71

WASHINGTON, 9 Jun – Dakwa…… James Comey hari ini mendakwa diganggu oleh cubaan Presiden Donald Trump untuk menggugurkan siasatan terhadap bekas penasihat keselamatan negara.

Bagaimanapun, bekas pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) itu tidak menyatakan sama ada beliau menyifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu cuba menghalang keadilan.

Comey memberitahu penggubal undang-undang AS dalam prosiding perbicaraan kongres AS paling dinanti sejak sekian lama, pentadbiran Trump berbohong dan memfitnah beliau dan FBI selepas Trump memecatnya pada 9 Mei lalu.

Dalam kenyataan bertulis, Comey berkata, Trump memintanya menggugurkan siasatan FBI ke atas bekas penasihat keselamatan negara, Michael Flynn, pada Februari lalu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan campur tangan Russia dalam pilihan raya presiden AS 2016.

“Saya tidak fikir perbualan saya dengan presiden adalah satu usaha untuk menghalang. Saya menganggapnya sebagai perkara yang sangat mengganggu, membimbangkan,” kata Comey.

Perbicaraan itu boleh memberi kesan ketara ke atas kedudukan Trump ketika peguam khas Robert Mueller dan beberapa jawatankuasa Kongres menyiasat usaha Russia mempengaruhi pilihan raya presiden 2016 dan sama ada kempen Trump bersekongkol dengannya.

Russia menafikan pembabitan manakala Rumah Putih menyangkal sebarang pakatan sulit. – WD MY