PUTRAJAYA 22 Dis – BEBAS….. Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani dibebaskan hari ini selepas direman empat hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan Adi Azuan,48, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 selain pasportnya perlu diserahkan kepada suruhanjaya itu.

Beliau membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Adi Azuan ditahan susulan siasatan SPRM berhubung penggunaan syarikat kontraktor penghias dalaman yang dilantik oleh TH untuk kerja-kerja pengubahsuaian di kediamannya.

Terdahulu, Adi Azuan tiba di Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju kemeja berwarna biru kira-kira pukul 10 pagi sebelum dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah 40 minit kemudian.

Sebelum ini media melaporkan, Adi Azuan ditahan reman selama empat hari bermula Rabu lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap Adi Azuan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Menurut sumber, beliau ditahan selepas dipercayai telah menerima rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah berjumlah RM400,000 sebagai balasan kerana memberi projek kerja-kerja penjenamaan semula pejabat cawangan TH kepada sebuah syarikat yang melibatkan kos sebanyak RM15 juta. – WD MY